ISB terima anugerah Specialist Provision Provider




Siaran Akhbar dan Foto : International School Brunei





BELAIT, Rabu, 28 Januari. - International School Brunei (ISB) telah dianugerahkan Specialist Provision Provider of the Year pada tahun 2025 oleh Tes Awards for International Schools, sekali gus menonjolkan komitmen berterusan ISB terhadap pendidikan yang benar-benar inklusif.


Anugerah ini mengiktiraf penyediaan perkhidmatan pendidikan khas yang sangat berkesan di Pusat Pembelajaran Inklusif (Centre for Inclusive Learning, CIL), ISB di Panaga, Kuala Belait.


“ISB menetapkan penanda aras baharu dalam sokongan inklusif dan diperibadikan untuk pelajar dengan keperluan yang pelbagai," ujar Peneraju EdTech Global, Tes.


“Kejayaan mereka jelas dilihat melalui peningkatan yang boleh diukur dalam keyakinan diri, kemahiran fungsional dan penyertaan sosial, yang dicapai menerusi program khusus yang memupuk perkembangan individu serta berdikari," tambahnya lagi.


Dengan menggunakan alat berasaskan bukti seperti skala penilaian dinamik dan ukuran pencapaian matlamat jelasnya, sekolah ini merekodkan perkembangan akademik, fungsional dan sosial bagi memberikan gambaran holistik terhadap perjalanan pembelajaran setiap pelajar.


Kongsi beliau lagi, pasukan khusus bekerjasama rapat dengan keluarga dan pakar luar untuk menghasilkan pengalaman pembelajaran yang disesuaikan, manakala pelaburan berterusan dalam pembangunan profesional kakitangan memastikan kecemerlangan.


Berpandukan kepercayaan bahawa setiap pelajar berhak mendapat pendidikan berkualiti tinggi, ISB memupuk keyakinan, daya tahan dan pembelajaran sepanjang hayat.


Tes Awards for International Schools meraikan sekolah dan pendidik cemerlang di seluruh dunia yang mengubah kehidupan kanak-kanak dan golongan muda melalui pengajaran, kepimpinan dan inovasi yang inspiratif.


Berasaskan kejayaan Anugerah Tes Schools yang telah lama dianjurkan di United Kingdom dan sering digelar 'Oscar pendidikan', anugerah ini menonjolkan kecemerlangan dalam sektor sekolah antarabangsa.


Kemenangan ini meletakkan ISB dalam kalangan sekolah antarabangsa terkemuka dunia dan mengukuhkannya sebagai peneraju global dalam penyediaan pendidikan khas.


Anugerah tahun 2025 menyaksikan tahap persaingan yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan jumlah penyertaan meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.


Panel hakim bebas yang terdiri daripada pakar telah memilih pemenang daripada senarai pendek yang pelbagai, mewakili sekolah-sekolah dari setiap benua, sekali gus menegaskan kepentingan pencapaian ini.


“Dalam satu langkah perintis, Pusat Pembelajaran Inklusif telah berjaya mengatasi cabaran besar untuk membangunkan ekosistem komprehensif yang mampu memenuhi keperluan yang sangat kompleks bagi pelajar yang pelbagai. Visi berani ini memastikan setiap pelajar disokong untuk mencapai kecemerlangan," umum penghakiman, Vanita Uppal OBE mengenai kejayaan ISB memenangi anugerah tersebut.

Close